Sunday, 4 October 2015

ISU SEMASA : JEREBU


http://mynewshub.cc/wp-content/uploads/2015/09/jerebu2.jpeg
                                                                   


     JEREBU 
    Sejak kebelakangan ini, Malaysia dan negara jiran yang lain seperti Singapura menghadapi fenomena jerebu yang amat membimbangkan. Hal ini terjadi ekoran aktiviti pembakaran hutan yang berlaku di Kalimantan dan Sumatera , Indonesia. Jerebu boleh didefinisikan sebagai keadaan kehadiran partikel-partikel terampai di atmosfera seperti gas-gas , habuk dan zarah di dalam keadaan udara kering. Jerebu boleh terjadi akibat beberapa faktor , antaranya faktor semula jadi dan faktor aktiviti manusia. Jerabu boleh mendatangkan kemudaratan khususnya kepada manusia.

FAKTOR-FAKTOR JEREBU

   Faktor semula jadi yang menyebabkan berlaku jerebu ialah faktor el-nino. El-nino ialah suhu perairan di Lautan Pasifik meningkat secara besar. Pada masa yang sama Asia Tenggara mengalami musim kemarau yang kering. Keadaan ini menggalakkan kebakaran hutan secara semula jadi ekoran cuaca panas melampau. Sebagai contoh, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan menyebabkan asap terlepas ke ruang udara dan terperangkap di angkasa yang menyebabkan jerebu.Selain itu , letusan gunung berapi turut menyebabkan berlaku jerebu. Sebagai contoh, gunung berapi Krakatau di Indonesia yang meletus membebaskan habuk dan gas ke atmosfera dan menyebabkan jerebu .Faktor lain yang turut menyumbang kepada berlaku fenomena jerebu ialah pelepasan asap-asap kenderaan dan asap dari kilang-kilang industry serta pembakaran terbuka yang berleluasa.

KESAN-KESAN JEREBU

  Kesan yang paling ketara yang dapat dilihat ekoran kejadian jerebu ialah kesihatan akan terjejas. Jerebu mengandungi gas-gas berbahaya seperti nitrogen dioksida dan sulphur dioksida. Gas berbahaya ini beserta partikel yang terampai akan masuk ke dalam tubuh apabila kita bernafas. Antara simptom-simptom yang dialami oleh mangsa ialah pedih mata, sakit tekak, asma dan sebagainya. Sekiranya situasi bertambah buruk, jerebu boleh merosakkan system pernafasan manusia.

   Jerebu turut mengakibatkan darjah penglihatan berkurang. Apabila darjah penglihatan manusia berkurangan, pandangan mereka akan menjadi terhad. Mereka hanya boleh Nampak dalam jarak dekat sahaja.Kesannya boleh menyebabkan kemalangan udara, laut dan darat. Sebagai contoh , berlaku perlanggaran kapal kargo di Selat Melaka ketika jerebu melanda yang mengorbankan banyak nyawa di samping menyebabkan pencemaran air akibat tumpahan minyak.

   Jerebu juga turut menjejaskan kualiti dan hasil pertanian. Pertumbuhan pertanian akan terbantut . Apabila berlaku jerebu, proses fotosintesis tanaman tidak akan berlaku sepenuhnya kerana kurang mendapat cahaya matahari. Kabut dan debu yang terampai di udara menghalang pancaran matahari daripada sampai sepenuhnya ke permukaan bumi. Kesannya, hasil pertanian tidak masak sepenuhnya atau rosak ekoran  tempoh matang yang menjadi semakin  lama.

LANGKAH ATASI JEREBU

   Langkah yang sesuai dilaksanakan ialah menjalinkan kerjasama antarabangsa. Kerjasama ini boleh dijalankan dalam usaha memadam kebakaran. Sebagai contoh, kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura membantu kerajaan Indonesia dalam usaha memadam kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan dengan menyediakan kepakaran dan alatan yang canggih. Negara Amerika turut membantu dengan menghantar kapal terbang untuk memudahkan kerja-kerja pemadaman kebakaran. Di samping itu, pihak Indonesia pernah bekerjasama dengan Malaysia dalam melaksanakan proses pembenihan awan untuk mempercepatkan hujan.

   Aktiviti pelepasan asap pencemar juga perlu dikurangkan bagi mengatasi masalah jerebu. Bagi sektor industri, penggunaan teknologi yang canggih adalah digalakkan di kilang-kilang di samping menggunakan sistem penapis agar gas-gas yang berbahaya dapat ditapis terlebih dahulu sebelum dilepaskan. Ini dapat mengurangkan pencemaran yang berlaku di ruang atmosfera.

   Bagi sektor pengangkutan pula, masyarakat digalakkan mengamalkan kempen kongsi kenderaan khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti di bandar-bandar. Hal ini dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya pada sesuatu masa selain dapat mengurangkan pelepasan asap pencemar. Di samping itu, penggunaan petrol tanpa plumbum seperti RON 95 juga digalakkan bagi mengurangkan asap hitam yang boleh mencemarkan udara.

No comments:

Post a Comment